mutakhir

Terkejut 12 saman tertunggak

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: “Eh banyaknya, encik pastikah saman itu kepunyaan saya?” kata seorang wanita apabila diberitahu anggota polis trafik mengenai 12 saman tertunggak dimilikinya ketika ditahan dalam operasi khas sempena Aidilfitri di Jalan Bahau-Juasseh, malam kelmarin.

Wanita berusia 28 tahun terbabit menafikan saman berkenaan miliknya, malah mendakwa tidak menerima sebarang surat mengenai kesalahan itu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kereta wanita itu antara 440 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Katanya, pada mulanya, wanita terbabit ditahan kerana memandu sambil memangku anaknya berusia lapan bulan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

“Hasil semakan kami mendapati dia mempunyai 12 saman tertunggak atas kesalahan memandu melebihi had laju sejak 2014.

“Dia menafikan melakukan kesalahan berkenaan dan mendakwa hanya memandu ke tempat kerja. Bagaimanapun, dia mengakui keretanya turut digunakan ahli keluarga lain termasuk suami,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berikutan itu, Noorzainy berkata, pihaknya menasihati wanita terbabit menyemak semula saman itu sebelum tindakan undang-undang diambil.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan berkata, 440 kenderaan diperiksa dalam operasi membabitkan 118 pegawai dan anggota.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan 242 notis atas pelbagai kesalahan, manakala polis mengeluarkan 45 saman dan 10 motosikal serta dua kereta disita.

Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 11:34am
d