mutakhir

Paduan maritim hapuskan lanun [METROTV]

Oleh Nursyahirah Marzuki

BERMULA esok, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melaksanakan Operasi Bersepadu (OPS PADU) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras aktiviti rompakan di laut dan jenayah rentas sempadan.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar berkata, operasi itu adalah salah satu usaha untuk membanteras aktiviti rompakan laut yang menjadikan kargo minyak diesel sebagai sasaran.

"Kita akan mulakan operasi bermula esok dan kawasan operasi yang akan tertumpu di wilayah selatan membabitkan perairan di Kuantan, Pahang hingga Pengerang, Johor.

"Sehingga kini, tiga buah kapal ronda dari ketiga-tiga agensi ditempatkan di kawasan operasi dan sekurang-kurangnya seorang pegawai dari agensi masing-masing berada di kapal terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan dan Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Zulkifili berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan terhadap dokumen perkapalan, dokumen kargo dan segala deklarasi yang membabitkan pergerakan atau aktiviti kapal serta kargo.

"OPS PADU ini dilaksanakan susulan daripada insiden rompakan minyak kapal tangki Thailand yang berlaku pada 23 Jun lalu," katanya.

Dalam kejadian 23 Jun lalu, kapal tangki CP41 yang dalam pelayaran ke Songkhla, Thailand dari Singapura itu dirompak sekumpulan lelaki dipercayai lanun melarikan 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan yang dibawa kapal berkenaan.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 11:57am
d