mutakhir

Pengguna rela sapu racun di muka

Kota Bharu: Kesedaran pengguna terhadap bahaya produk kosmetik tidak berdaftar masih rendah apabila mereka terus menggunakan pelbagai produk seumpamanya di pasaran.

Pengguna terutama golongan wanita sanggup menanggung risiko termasuk penyakit kanser kulit dan kematian semata-mata mahu tampil cantik dalam masa singkat.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, bagi mengekang penjualan produk kosmetik berbahaya dan tidak bernotifikasi di pasaran terbuka, Cawangan Penguatkuasa Farmasi Kelantan sentiasa membuat pemantauan dan serbuan menerusi Ops Kosmetik.

Katanya, dalam serbuan antara April hingga pertengahan Jun lalu, pihaknya merampas pelbagai jenis produk kosmetik jenama tempatan dan buatan negara jiran bernilai RM159,294.

“Serbuan di tujuh premis di bandar Kota Bharu merampas 57 jenis produk kosmetik pelbagai jenama termasuk yang terkenal.

“Kebanyakan produk kosmetik yang dirampas ini mengandungi bahan larangan termasuk merkuri, tretinoin dan hydroquinone yang boleh menyebabkan penyakit kanser kulit dan kematian,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua produk yang dirampas itu disimpan di cawangan penguatkuasa farmasi bagi tindakan lanjut.

“Pengedar dan penjual kosmetik tidak berdaftar itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kami nasihatkan orang ramai supaya sentiasa melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my untuk mengetahui status produk kosmetik yang digunakan. Orang ramai perlu menggunakan ubat-ubatan daripada sumber yang sah seperti hospital, klinik atau farmasi,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 12:29pm
d