mutakhir

Hanya 2 kes guna lorong kecemasan

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mencatatkan pengurangan kes penggunaan lorong kecemasan sebanyak 96.61 peratus berbanding tahun lalu sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2017 yang berakhir malam tadi.

Pengarahnya Azrin Borhan berkata, hanya dua kes menggunakan lorong kecemasan direkodkan sepanjang 18 Jun hingga 2 Julai berbanding 59 kes, tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan itu hasil rondaan secara kerap di lebuh raya oleh anggota JPJ termasuk menggunakan Unit Peronda Bermotor (UPB) JPJ.

"Tahun lalu, kita hanya melakukan operasi statik berbanding tahun ini anggota menjalankan rondaan di sepanjang lebuh raya menyebabkan pengguna lebih berhemah dan berhati-hati.

"Selain itu, kita turut membuka bilik kawalan 24 jam untuk menerima aduan pengguna dan melakukan pemantauan sepanjang operasi ini dijalankan," katanya pada sidang media selepas Op HRA 2017 di Jalan Dato Muda Linggi, Seremban, malam tadi.

Turut sama dalam operasi itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS).

Azrin berkata, sepanjang HRA 2017 pihaknya turut mencatatkan penurunan kes 876 kes berbanding tahun lalu.

Katanya, tahun lalu 2,789 kenderaan diperiksa dengan merekodkan 2,707 kesalahan berbanding 2,759 kenderaan diperiksa dengan 1,831 kesalahan direkodkan, tahun ini.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah mengubahsuai kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 1:36pm
d