mutakhir

Cikgu kena buli jangan diam

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

GURU yang menjadi mangsa buli pelajar  diminta melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Pendidikan dan tidak menyembunyikannya supaya tindakan susulan boleh diambil.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam kebanyakan kes guru yang menjadi mangsa buli ini hanya berdiam diri kerana berkemungkinan bimbang dengan keselamatan diri mereka.

Menurutnya, dalam soal ini, guru seharusnya berani untuk melaporkan perkara itu kepada pihak kementerian termasuk jika ada elemen gengsterisme yang perlu dimaklumkan supaya tindakan akan dapat diambil.

"Kes buli ini bukan sahaja guru yang menjadi mangsa malah kakitangan sekolah dan pengawal keselamatan turut dibuli.

"Jadi, maklumat berkaitan kes buli ini perlu jelas dan jangan sembunyikannya malah jika terbukti pelajar terbabit menjadi pembuli maka kita akan mengambil tindakan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melawat Kolej Vokasional Alor Setar, hari ini.

Mahdzir berkata, pelajar yang dikenal pasti menjadi pembuli ini akan dimaklumkan kepada ibu bapa mereka sebelum dihukum gantung sekolah.

"Dalam tempoh tidak bersekolah itu terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke mana-mana pusat pemulihan di mana kementerian sedia membantu.

"Pelajar ini boleh dibawa ke sesi kaunseling di penjara, melihat proses hukuman pelajar di Sekolah Henry Gurney, pusat juvana atau apa-apa aktiviti yang menjurus kepada kesedaran dalam diri," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 2:14pm
d