mutakhir

Penolong jurutera makan suap kantoi

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PENOLONG jurutera mekanikal Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM700,000.

Sumber SPRM berkata suspek berusia 42 tahun ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada kontrak dan pembekal maktab berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati suspek meminta wang itu sebagai upah mendapatkan kerja-kerja bekalan dan perkhidmatan di maktab itu bermula tahun 2014 sehingga tahun lalu.

“Suspek ditahan di rumahnya di Merlimau kira-kira jam 6.30 pagi ini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung penyelewengan dalam kerja bekalan dan perkhidmatan maktab itu.

"Dalam serbuan itu, pasukan penyiasat menjumpai wang tunai kira-kira RM32,000 yang disembunyikan dalam tin biskut," katanya.

Turut dirampas barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Prado dianggarkan bernilai RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya suspek akan dihadapkan ke mahkamah di Segamat esok bagi permohonan reman.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 5:54pm
d