mutakhir

Tak sedarkan diri dengan wajah kebiruan

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

BAYI perempuan berusia empat bulan meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA) selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seksyen 19, Shah Alam kira-kira 2.30 petang, hari ini.

Aira Amira Nurul Riduan yang juga anak kepada pasangan wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha, 32, dan Norhafizah Che Abdullah, 27, ditemui tidak sedarkan diri dengan wajah kebiruan selepas beberapa jam diberikan susu botol oleh pengasuhnya.

Menurut Nurul Riduan, kali terakhir dia melihat anaknya ketika menghantar bayi itu kepada pengasuh kira-kira 9 pagi hari ini.

Katanya, dia menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anaknya tidak sedarkan diri ketika berada dalam buaian.

"Sejurus menerima panggilan, saya dan isteri bergegas ke Klinik Kesihatan Seksyen 19 untuk melihat keadaan Aira Amira sebelum anak kami dihantar ke HSA untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, anak sulung kami ini disahkan meninggal dunia di HSA," katanya yang mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Jenazah Aira Amira akan dikebumikan di Felda Besout, Sungkai, Perak selepas semua proses termasuk bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 8:00pm
d