mutakhir

Warga emas OKU rentung

Oleh BERNAMA

WARGA emas yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di di Kampung Kubang Ikan, Cherating, Kuantan, hari ini, dikenali sebagai Hanafi Husin, 63, yang lumpuh dari pinggang ke bawah.

Komander Operasi Balai Bomba Gebeng, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Hanif Sulaiman berkata mayat Hanafi ditemui rentung dalam sebuah bilik di rumah itu selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri.

"Mangsa yang pernah berkahwin, tinggal di rumah itu bersama sepasang suami isteri. Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan tiada di rumah ketika kebakaran,” katanya.

Mohd Hanif berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.46 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi kebakaran yang terletak 35 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng kira-kira 20 minit kemudian.

Turut membantu operasi memadamkan kebakaran ialah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Terengganu.

Mohd Hanif berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, pemilik rumah Zaharah Latif, 48, berkata mangsa yang berasal dari Kemaman, Terengganu, adalah kenalan suaminya, Mohd Nazri Mad Nor, 45, dan baru tiga hari menumpang di rumah mereka.

"Keluarga mangsa meminta kami menjaganya sementara waktu.

“Mangsa memang tidak boleh berjalan dan perlu didukung jika mahu ke mana-mana. Ini bukan kali pertama kami bantu kerana mangsa dan suami memang sudah lama kami kenal," katanya.

Zaharah berkata dia menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan kejadian itu semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari mengambil ubat di Klinik Kesihatan Geliga di Kemaman.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 8:24pm
d