mutakhir

MPV klon punya angkara

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KENDERAAN peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbabit kemalangan dengan empat kenderaan ketika mengejar MPV klon di Kawasan Perindustrian Arab-Malaysia, Nilai, hari ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan berkata, tiga anggota yang melakukan rondaan melihat MPV Honda Stream mencurigakan lalu mengekorinya, jam 5.15 petang.

"Anggota mengarahkan pemandu terbabit iaitu lelaki berusia 30-an memberhentikan kereta. Lelaki itu bagaimanapun memecut laju melarikan diri.

"Tindakannya menyebabkan anggota cuba mengejar sebelum suspek merempuh sebuah kereta lalu terbabas dan terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain termasuk kenderaan JPJ," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, suspek dan tiga anggota serta pemandu lain tidak cedera dalam kejadian itu.

Beliau berkata, suspek menyerah diri dan hasil pemeriksaan mendapati MPV itu adalah MPV klon menggunakan nombor plat kereta lain dan tiada rekod nombor casis.

Azrin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 11:35pm
d