mutakhir

Sembunyi celah longgokan batu

Oleh myMetro

Kota Bharu: Beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorok di celah longgokan batu dan bangunan selepas tapak pembinaan di Tunjong dan Telipot di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan, kelmarin.

Serbuan menerusi Op Ikrar antara 4 petang hingga 6.45 petang itu menahan 28 warga asing berusia 16 hingga 45 tahun.

Pengarah Imigresen Kelantan Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ketika diserbu, warga asing terbabit bekerja.

“Mereka menyembunyikan diri sebalik melihat kelibat anggota penguat kuasa kita. Namun semua ditahan.

“Seramai 16 anggota Imigresen terbabit operasi ini susulan program E-Kad yang berakhir minggu lalu dan kami menahan 28 PATI termasuk empat wanita,” katanya di sini, semalam.

Daripada jumlah itu, Wan Mohammed Saupee berkata, 16 warga Bangladesh, sembilan Indonesia dan tiga Myanmar.

Mereka melakukan kesalahan mengikut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(B) mengikut Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

“PATI dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 5:51am
d