mutakhir

Nenek gigih bela 4 cucu

Oleh myMetro

Dengkil: “Alhamdulillah, pemberian ini meringankan perbelanjaan kami. Selama ini, kami makan apa saja yang ada di rumah namun bersyukur dengan rezeki daripada Allah SWT,” kata Ramalah Hamid, 69.

Warga emas itu ditemui di rumahnya di Kampung Jenderam Hilir, bagi penyerahan bantuan barangan keperluan menerusi Program #HMKotakRezeki2017, di sini, semalam.

Kisah pengorbanan Ramalah menjaga empat cucu selepas ibu mereka yang juga anaknya meninggal dunia pada 2009 pernah disiarkan di akhbar ini pada 30 Jun 2011 dan 7 Ogos 2013.

Dia kini menjaga Wan Syahmirul Aizat Abdullah, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) serta Junesyahirah, 20, penuntut Universiti Multimedia (MMU), Wan Ayu Syuhada, 19, yang juga penuntut kolej di Banting dan Mohd Fitri, 14, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil.

Pada masa sama, Ramalah berkata, mereka turut menerima RM350 daripada Pusat Zakat Selangor setiap bulan manakala cucunya yang juga OKU turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan.

“Malah, cucu saya yang menuntut di MMU turut mendapat bantuan zakat pendidikan manakala seorang lagi yang belajar di kolej di Banting bekerja sementara di sebuah pasar raya.

“Saya tidak pasti sama ada Ayu (Wan Ayu Syuhada) mahu teruskan pengajiannya atau bekerja memandangkan mahu mencari pendapatan bagi menampung kami sekeluarga,” katanya.

Ditanya mengenai Wan Syahmirul Aizat, Ramalah berkata, sehingga kini cucunya itu perlu mengambil ubat setiap hari, malah perlu mengikuti temu janji doktor di Hospital Putrajaya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyampaikannya menerusi akaun 05-058-02-007565-6 Bank Islam atas nama Ramalah Hamid. 

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 6:25am
d