mutakhir

Jumpa selepas dicuri lapan jam

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Kepekaan masyarakat setempat selain kecekapan polis bertindak membolehkan kereta Perodua Kancil yang hilang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa ditemui semula dalam tempoh lapan jam selepas kehilangannya.

Kereta milik seorang penuntut universiti itu ditemui di Kampung Sungai Nyior, di sini, pada 6 petang kelmarin.

Malah, polis turut menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk pecah rumah dan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zaharudin Rasip berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Sebelum itu, pada 5.30 petang orang awam melihat kereta terbabit dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan memasuki sebuah stesen minyak di Kampung Laut.

“Dia kemudian menghubungi kami dan anggota dari Balai Polis Palekbang bergegas ke stesen minyak itu, bagaimanapun suspek bertindak memecut kereta apabila menyedari kelibat anggota.

“Kenderaannya diekori sehingga ke Kampung Sungai Nyior dan dia akhirnya berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Zaharudin berkata, suspek turut melanggar bahagian hadapan kereta peronda polis jenis Proton Waja untuk melarikan diri.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui pisau kerambit dan peralatan pecah rumah, manakala suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Perodua Kancil itu dilaporkan hilang di UMK pada pagi (hari sama) berdasarkan laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 7:19am
d