mutakhir

Rebah depan bank

Oleh Azahar Hashim

ANGGOTA polis meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mahu mengeluarkan wang dari Mesin Juruwang Automatik (ATM) bank di Jalan Tunku Putra, Kulim, malam tadi.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Lans Koperal Mohd Ashri Abu Hassan, 46, yang bertugas di Balai Polis Kulim Hi-Tech tiba-tiba rebah ketika berjalan menuju ke mesin ATM bank terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa bersama isteri serta seorang anak lelaki menaiki kereta ke pekan Kulim.

Katanya, apabila tiba di hadapan bank berkenaan mangsa meletakkan kenderaannya bersebelahan dengan bank terbabit dan keluar untuk ke mesin ATM.

"Ketika berjalan mangsa secara tiba-tiba rebah dan orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi ambulans Hospital Kulim (HK) untuk bantuan. Kakitangan perubatan yang memeriksa mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Jenazahnya kemudian dihantar ke Bilik Forensik HK dan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa maut akibat serangan jantung,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan ketika berada di dalam kereta mangsa mengadu sakit kepala kepada isterinya.

Katanya, jenazah mangsa kemudian dituntut oleh ahli keluarganya dan akan dikebumikan di Kampung Sedaka Tengah,Yan hari ini.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 9:44am
d