mutakhir

Kelindan cedera tersepit

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KELINDAN cedera selepas lori dinaiki terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 174.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bandar Baharu, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Pegawai Bomba Kanan II Syed Kamarulhisham Syed Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.52 pagi dan tiba di lokasi pada 7.12 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi mangsa, Khairul Anuar Abdul Aziz, 32, didapati tersepit dalam kenderaan itu manakala pemandu lori dan treler tidak cedera.

"Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dalam masa kira-kira 15 minit.

"Operasi disertai seorang pegawai dan empat anggota BBP Serdang bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) selain dibantu sebuah jentera dari BBP Parit Buntar, Perak," katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan operasi tamat pada 7.46 pagi.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 11:16am
d