mutakhir

Rindu terubat

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

"SUDAH lama saya menunggu peluang untuk memeluk dan mencium ibu, isteri dan anak-anak. Hasrat termakbul hari ini dan jadikan Syawal ini paling bermakna," kata Abdullah, 51, (bukan nama sebenar) banduan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.

Dia antara 24 banduan yang diberi peluang menemui ahli keluarga menerusi Program Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran PPA Machang, hari ini.

Abdullah dihukum penjara selama 11 tahun kerana pecah amanah dan sudah menjalani hukuman itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh itu, dia hanya dapat melihat orang kesayangannya di sebalik kaca dan bersembang untuk tempoh yang sangat pendek menerusi telefon.

"Terseksanya saya rasa apabila tidak dapat menyentuh mereka dan berjumpa secara berdepan begini. Saya sangat rindukan mereka.

"Alhamdulillah hari ini saya dapat bermesra dengan mereka dalam suasana yang gembira. Cukuplah untuk saya bawa 'bekal' dalam selesaikan baki hukuman ini," katanya ketika ditemui.

Dia juga mengakui kehidupan di PPA Machang menginsafkan dirinya dan nekad untuk membina kehidupan baru selepas keluar daripada penjara.

Paling utama katanya, tidak mahu cepat gelap mata dan mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PPA Machang, Mahadzair Che Daud berkata, program itu diadakan setiap tahun untuk memberi peluang kepada penghuni bertemu keluarga masing-masing bagi mengeratkan hubungan mereka sempena Aidilfitri.

"Ini juga satu acara penting yang dapat menyatukan banduan dengan keluarga supaya mereka tidak merasa tersisih, selain beri semangat untuk mereka berubah dan kembali ke pangkal jalan," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 4:19pm
d