mutakhir

Buaya Sungai Klang muncul semula [METROTV]

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

PENDUDUK sekitar Kampung Padang Jawa, Klang gempar apabila seekor buaya tembaga muncul kali kedua di Sungai Klang, petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, orang ramai ternampak buaya tembaga di tebing pasir ketika air sungai surut.

Penduduk, Mahyuddin Mohd Yusuff, 33, berkata, lokasi itu menjadi tumpuan apabila buaya itu tidak berganjak walaupun orang ramai mengerumuni kawasan sekitar.

Menurutnya, penduduk kini bimbang kerana reptilia berkenaan muncul di kawasan terbabit.

"Penduduk bimbang kerana ramai antara kami menjadikan sungai ini sebagai tempat memancing.

"Selain itu kawasan kampung ini juga sering dilanda banjir, kami bimbang buaya ini terlepas masuk seterusnya membahayakan keselamatan penduduk," katanya.

Pada Mac lalu, buaya dengan anggaran ukuran dua meter dilihat menyusuri Sungai Klang di bandar Klang.

Kejadian itu menggemparkan penduduk namun setakat ini tiada laporan mengenai ancaman reptilia itu.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 5:03pm
d