mutakhir

Elak Laut Sulu jadi laluan tikus Daish

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Kawalan maritim di Laut Sulu, Malaysia dengan kerjasama Indonesia dan Filipina terus dipertingkatkan bagi memastikan pengganas Daish tidak menggunakan laluan tikus untuk melarikan diri.

Malah, pihak keselamatan Malaysia turut mengadakan rondaan udara menerusi Trilateral Air Patrol (TAP) yang dijangka dilancarkan di Subang, Selangor, dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, TAP bakal dilaksanakan susulan kerjasama dalam memerangi keganasan menerusi inisiatif INDOMALPHI Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama Indonesia dan Filipina yang dilancarkan di Tarakan, Indonesia baru-baru ini.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan anggota militan termasuk militan Daish tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk di tiga negara berkenaan serta menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan ini.

“Susulan pelaksanaan TMP, kita akan melancarkan TAP membabitkan tiga negara yang dijangka dilancarkan di Subang.

“Secara amnya, TAP dilaksanakan sebagai satu lagi inisiatif untuk memperkasakan pengawasan keselamatan dan kesiapsiagaan ruang udara dan maritim di Laut Sulu.

“Saya juga berhubung melalui telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jeneral James Mattis pada Khamis ini bagi membincangkan perkembangan terkini kegiatan kumpulan militan Daish di Timur Tengah,” katanya semalam.

Hishammuddin berkata, perbincangan itu bakal menjadi ruang terbaik bagi beliau dan Mattis berkongsi pengalaman serta memperhalusi bentuk kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Pada masa sama, saya mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara di Timur Tengah dalam masa terdekat khususnya di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain. Lawatan ini bertujuan bertemu pemimpin tertinggi negara itu serta mendapatkan gambaran sebenar situasi di Timur Tengah.

“Pertemuan itu membolehkan kami berkongsi pandangan berhubung pendekaan terbaik bagi menangani ancaman kumpulan Daish.

“Dalam lawatan ke Arab Saudi, saya mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan penubuhan King Salman Centre For International Peace (KSCIP) di Kuala Lumpur serta memikirkan pendekatan terbaik untuk mengenal pasti inisiatif bagi mengekang penyebaran dakyah kumpulan pengganas,” katanya.

Jelasnya, Malaysia menerusi Angkatan Tentera Malaysia dan semua agensi keselamatan negara akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 6:20am
d