mutakhir

Sita 2 motor parkir di petak OKU

Oleh Faliq Lajim

Klang: Dua motosikal yang diparkir pemiliknya di petak orang kurang upaya (OKU) di Jalan Batai Laut di sini, kelmarin disita Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pada kejadian jam 2.25 petang, pihaknya menerima aduan awam berkaitan perkara terbabit sebelum melakukan pemeriksaan.

“Kami dapati dua motosikal itu masih berada di petak parkir OKU seperti yang diberitahu pengadu. Kami menyita jentera terbabit dan membawanya ke depoh tunda MPK.

“MPK tidak akan bertolak ansur terhadap pihak yang tidak mengikut peraturan,” katanya, semalam.

Menurut beliau, MPK akan memperhebatkan pemantauan di kawasan pasar raya, pejabat serta bangunan komersial berkaitan salah guna petak parkir OKU.

“Kami akan mendenda, mengunci atau menyita kenderaan yang diparkir di petak tidak dibenarkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 6:38am
d