mutakhir

Diserang sawan sebelum lemas

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

SEORANG peniaga ditemui lemas ketika melihat hasil pukat di sungai berdekatan sebuah kilang simen, di Chuping, Padang Besar, tengah malam tadi.

Mohd Farid Rahim, 34, ditemui kira-kira jam 12 tengah malam oleh ahli keluarganya yang mencarinya selepas tidak pulang ke rumah.

Difahamkan, mangsa yang keluar dari rumah sejak jam 12 tengah hari kali terakhir dilihat menghantar anak sulungnya berusia 12 tahun pulang ke rumah pada jam 11 pagi selepas pergi memasang pukat di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Sungai Buloh, di sini dipercayai diserang sawan sebelum kejadian berlaku.

"Keluarga mangsa memaklumkan, Mohd Farid mempunyai penyakit berkenaan, kemungkinan penyakit itu datang ketika dia turun ke sungai.

"Pemeriksaan fizikal mayatnya tidak mengalami sebarang kecederaan pada tubuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ghazani berkata, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan jika hasil bedah siasat yang akan dijalankan pagi ini memberi keputusan sebaliknya, siasatan lanjut akan dilakukan.

Khidmat bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Arau juga digunakan bagi menarik mayat mangsa berikutan kawasan sungai berkenaan yang curam.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 1:34pm
d