mutakhir

Lemas dalam kolam terbiar

Oleh Rosli Ilham

KANAK-KANAK lelaki ditemui lemas selepas mandi dalam kolam terbiar di FELDA Kerteh 6, Dungun, malam tadi.

Mangsa, Wan Muhammad Shah Hairi Wan Mohd Sufian, 11, ditemui oleh orang ramai pada 7. 35 malam.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya, Rahimi Saidi, 10, dikatakan bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Kerteh 1.

Ketika perjalanan pulang ke rumah, mangsa dikatakan mengajak rakannya ke kawasan kolam terbiar yang dipercayai digali kontraktor untuk melakukan kerja pembinaan longkang.

Mangsa kemudiannya turun ke dalam kolam terbabit dan mandi manakala rakannya hanya menunggu di tebing.

Tidak lama kemudian, mangsa dilihat terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong sebelum rakannya berlari memaklumkan kejadian itu kepada ibu Wan Muhammad Shah Hairi.

Sekumpulan pemuda yang berehat tidak jauh dari kawasan itu kemudiannya bergegas ke kolam berkenaan selepas dimaklumkan sebelum menemuinya dan mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun kira-kira 11 malam untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

FOTO Rosli Ilham

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 2:04pm
d