mutakhir

Husam mengigau

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menganggap Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa mengigau apabila mencabar kerajaan negeri menamakan calon Menteri Besar.

Katanya, cabaran itu disifatkan sangat tidak relevan memandangkan Kelantan sudah mempunyai Menteri Besar iaitu Datuk Ahmad Yakob.

"Saya rasakan dia mengigau, kita sudah ada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan beliau menjalankan kerja dengan baik dan masih sihat.

"Selain itu, Menteri Besar sekarang ini dipilih oleh Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mendapat perkenan daripada Istana Kelantan," katanya ketika ditemui media di Kompleks Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

Husam semalam dipetik berkata, mencabar PAS supaya menamakan calon Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum kerana mendakwa parti itu tidak pernah mengemukakan mana-mana nama sejak zaman Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, PAS tidak berani menamakan mana-mana calon menteri besar kerana parti itu tidak jelas dengan perjuangan mereka.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang menamakan Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar berkata, semua parti berhak menamakan pemimpin yang difikirkan layak

"Pada pandangan saya, untuk jadi Menteri Besar, pastikan parti menang terlebih dan ada restu istana, itu dua perkara penting," katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melempar tuduhan bahawa kerajaan itu mengutip wang haram daripada perdagangan karbon.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Fadzli Hassan berkata, pihaknya tidak pernah mengarahkan atau meminta mana-mana syarikat mengutip wang untuk urusan pelaburan itu.

"Ingin saya buat penegasan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan atau meminta Syarikat Climate Protector Sdn Bhd atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek Karbon Trading terbabit seperti tersebar di media sosial.

"Kita juga sudah meminta pihak syarikat untuk memberikan penjelasan kepada kerajaan negeri dan Insya-Allah penjelasan sepenuhnya kepada media akan diberikan dalam masa terdekat," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 4:52pm
d