mutakhir

Sekejap mengaku, sekejap tidak curi lebih RM500,000

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENGAWAL keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang, hari ini atas tuduhan melarikan lebih RM500,000 wang tunai yang berada dalam kawalan sebuah syarikat kawalan keselamatan tempat dia bekerja, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Azmi Ismail, 32, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan untuk kali kedua terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Ketika pertuduhan dibaca kali pertama terhadapnya, lelaki itu pada mulanya mengaku bersalah.

Namun, tertuduh kemudian menukar pengakuannya itu ketika sedang membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan selepas mendengar hukuman bagi perbuatan dilakukannya itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mahkamah kemudian menegur tindakan tertuduh yang gopoh dan mengingatkan supaya dia mendengar pertuduhan lebih teliti sebelum memberikan pengakuan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melarikan sebuah perakam kamera litar tertutup (CCTV), wang tunai berjumlah RM581,032, buku rekod, resit serta kelengkapan keselamatan termasuk empat mangga dan kunci.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Jalan Lambak di sini, antara jam 10.15 malam, 30 Jun lalu hingga jam 3.30 pagi, Sabtu lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dan mahkamah menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Zuber, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 5:25pm
d