mutakhir

Denda RM5,000 gagal rekod pendapatan dan kerugian perniagaan.

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENGARAH sebuah syarikat pembekal barangan perubatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana gagal menyimpan rekod mencukupi berkenaan pendapatan atau kerugian perniagaan.

Nor Asyikeen Othman, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal menyimpan rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan atau kerugian perniagaan bagi tahun taksiran 2012 kepada Ketua Hasil Dalam Negeri.

Pengarah Syarikat Mayo Surgical Supply itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah premis di Subang Jaya pada 11 September 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Sarulatha menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan jika gagal membayarnya, tertuduh boleh dipenjara empat bulan.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, pengarah sebuah syarikat perniagaan penyelenggaraan peralatan, Yong Kee Eng, 47, mengaku tidak bersalah atas akta sama.

Yong didakwa gagal menyimpan rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan atau kerugian perniagaan bagi tahun taksiran untuk tempoh 2010 hingga 2012 di sebuah premis di Klang pada 18 Mac 2015.

Tertuduh yang juga Pengarah Syarikat Algood Services didakwa gagal memberikan rekod pendapatan atau kerugian kepada Ketua Hasil Dalam Negeri bagi tahun taksiran 2010, 2011 dan 2012.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ainil Farahin Ramli dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 5:54pm
d