mutakhir

Mesti lulus Bahasa Melayu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KABINET hari ini memutuskan syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini dikekalkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, serentak dengan keputusan itu, Kabinet bersetuju menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Beliau berkata, tiada sebarang kelonggaran berkaitan Bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam.

"Akta Perubatan 1971 juga akan dipinda bagi mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun tamat selepas tamat latihan amali perubatan dan memasukkan syarat kelulusan Bahasa Melayu jika perkhidmatan diperlukan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengenai isu kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu bagi pegawai perubatan Gred UD41, hari ini.

Katanya, beliau juga sudah merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum keputusan itu diambil.

Ahmad Zahid berkata, Jemaah Menteri juga komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan.

Menurutnya, Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaa. 1963/1966 (Akta 32).

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 6:30pm
d