mutakhir

Dua ditahan, syabu RM400 dirampas

Oleh Rosliza Mohamed

DUA lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama 10 gram dadah jenis syabu anggaran nilai RM400 di rumah dua tingkat di Jalan Bayam, Kota Bharu, hari ini.

Kedua-duanya berusia 35 dan 46 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika serbuan, didapati satu bilik di bahagian bawah rumah itu berkunci daripada dalam dan pemeriksaan anggota menemui dua lelaki bersembunyi di dalamnya.

"Berikutan itu tindakan memecahkan pintu hadapan dan menyerbu masuk ke dalam bilik dilakukan. Kedua-dua suspek cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun dalam pergelutan itu, suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan terhadap mereka tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang.

"Pemeriksaan seterusnya pada sebuah almari kecil tertutup di tepi dinding di dalam bilik itu, menjumpai tujuh paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 10.0 gram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan terhadap semua suspek yang bekerja sebagai buruh adalah positif Methamphetamine.

Katanya, suspek juga didapati mempunyai rekod empat kesalahan lampau berkait kes dadah.

"Mereka ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 6:46pm
d