mutakhir

KWSP izin bayar semua pinjaman pendidikan

Oleh BERNAMA

MULAI kuasa 21 Julai ini, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan Akaun 2 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, penambahbaikan melalui Skim Pengeluaran Pendidikan itu akan menggantikan syarat semasa pengeluaran sebelum ini.

"Penambahbaikan bagi dasar ini dilakukan selepas mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran untuk mengurang atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini syarat semasa untuk menyelesaikan baki pinjaman pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat Ijazah dan ke atas serta yang setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman yang berkuat kuasa pada 1 April 2000.

Bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli di peringkat Diploma dan ke atas serta yang setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman yang berkuat kuasa pada 2 Januari 2001 manakala syarat bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli dan anak ahli di peringkat Diploma dan ke atas serta yang setara dengannya terhad bagi pinjaman yang berkuatkuasa pada 17 Januari 2006.

Selain itu, berkuatkuasa serta merta, ahli KWSP juga boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau Pengeluaran Penuh/Sebahagian Umur 55 Tahun dan 60 Tahun satu bulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding enam bulan sebelumnya.

“Sebelum membuat sebarang pengeluaran, kami menggalakkan ahli mendapatkan nasihat percuma di kaunter Khidmat Nasihat Persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan jenis pengeluaran yang terbaik mengikut kehendak mereka,” katanya.

Maklumat lanjut, hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000 atau laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 7:26pm
d