mutakhir

Mantapkan PDRM

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Sebagai warga PDRM (Polis Diraja Malaysia), saya patuh pada setiap arahan termasuk pertukaran jawatan yang diputuskan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh yang ditukarkan jawatan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bermula esok.

Dia adalah antara 46 pegawai kanan polis yang tersenarai dalam Arahan Kenaikan Pangkat dan Pertukaran Pegawai Kanan PDRM yang dikeluarkan, kelmarin.

Katanya, dia akan mengatur perancangan bagi tugas yang bakal diambil alih itu, sekali gus memantapkan pengurusan PDRM.

“Namun masih terlalu awal untuk saya memaklumkan perancangan itu. Namun saya akan berusaha untuk memberikan khidmat terbaik untuk semua,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata, antara pegawai kanan yang terbabit dalam senarai pertukaran berkenaan adalah Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang bertukar jawatan kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.

“Jawatan Zulkifli akan diambil alih oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab, manakala jawatan Mohmad pula diganti Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

“Selain itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor akan bertukar sebagai Ketua Polis Selangor dan jawatannya diambil alih Timbalan Pengarah (Kepolisan Am) Jabatan Keselamatan Dalam, Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Amer Awal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, jawatan Ketua Polis Johor pula akan diisi Setiausaha PDRM Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader.

“Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof pula akan menyandang jawatan baru sebagai Timbalan Pengarah KDN/KA (Kepolisan Am) menggantikan Amer Awal dan diikuti beberapa lagi pegawai,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 5:14am
d