mutakhir

Impian jadi cikgu tak kesampaian

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Puteh: Pelajar tingkatan enam, Che Muhammad Syafiq Che Suriadi, 19, yang maut bersama dua rakannya dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Bukit Tanah, di sini semalam, berhasrat menjadi seorang pendidik.

Impian itu kerap disuarakan kepada ibunya Siti Asma Ghani, 43, sambil memberitahu mahu menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

“Memang cita-citanya menjadi seorang guru dan saya memberi restu. Saya sokong semua impiannya kerana dia anak harapan saya yang dapat beri contoh terbaik buat dua lagi adiknya.

“Apakan daya, impiannya tidak kesampaian. Saya reda dengan qada dan qadar ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selising di sini, semalam.

Jenazah Che Muhammad Syafiq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jawa, Selising pada jam 11 pagi.

Menurutnya lagi, sebelum kejadian, arwah ada memberitahunya mahu ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa bagi membantu menghias untuk sambutan Aidilfitri.

Katanya, selepas itu anaknya pulang ke rumah pada jam 11.05 malam untuk menghantar kereta dan keluar semula bersama tiga rakannya menaiki kereta dipandu Ahmad Amirul Razali, 19, untuk ke kedai minum.

“Dia sebut ‘nak pergi dah ma’ sebelum keluar, tapi saya tak syak apa-apa sehinggalah menerima berita kemalangan itu. Saya terus ke Hospital Tengku Anis (HTA) dan perkhabaran diterima sangat memilukan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh Harun Yusuff mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya, empat pelajar tingkatan enam yang terbabit dalam kemalangan itu sempat ke SMK Bukit Jawa untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri dan tamat pada jam 10 malam.

“Saya difahamkan mereka keluar minum
di sekitar Selising selepas itu dan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Kami warga PPD dan guru sekolah mereka mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan semoga Allah SWT merahmati roh ketiga-tiga pelajar ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 6:11am
d