mutakhir

Malu tunjuk muka

Oleh Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Tertuduh kes memandu lawan arus sehingga menyebabkan kematian pada 14 Mac lalu cuba mengelak lensa jurugambar ketika hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini, bagi sebutan semula kes berkenaan, semalam.

Tertuduh, Ng Pei Ven, 19, yang juga pemegang kad orang kurang upaya (masalah pembelajaran) berdepan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 44(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 serta boleh hilang kelayakan lesen memandu sehingga lima tahun.

Ng dituduh memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Permatang Pauh di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian juruteknik kilang Mohamad Fandi Rosli dalam kejadian 14 Mac lalu.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes itu selepas peguam mewakili tertuduh Parmjit Singh Mahinder gagal hadir ke mahkamah.

Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan tarikh berkenaan bagi pengurusan serta serahan dokumen.

Jamaliah turut mengingatkan Ng memastikan peguamnya hadir pada tarikh yang ditetapkan bagi memastikan prosiding berjalan lancar.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 6:29am
d