mutakhir

Sepakat dakwa dalang MH17 di Belanda

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Negara-negara Pasukan Siasatan Bersama (JIT) bersetuju agar pendakwaan peringkat kebangsaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan penerbangan Malaysia Airlines MH17 terhempas hampir tiga tahun lalu dilakukan di Belanda.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan, di sini, semalam, berkata, satu keputusan bersama dicapai oleh Malaysia bersama rakan-akan JIT, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia berhubung pendakwaan sebagai proses berkesan bagi menjamin akauntabiliti yang mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

“Ini sejajar dengan komitmen kita yang tidak berganjak untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan khususnya untuk keluarga dan orang-orang tersayang daripada penumpang dan kru penerbangan MH17.

“Kami juga sukacita mendapat tahu Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda akan membuat keputusan yang perlu mengenai pendakwaan dalam masa sewajarnya memandangkan siasatan jenayah masih berjalan,” katanya.

Katanya, perbicaraan akan berlangsung dalam kerangka prosiding kehakiman jenayah Belanda.

Menurutnya, sistem perundangan Belanda menjamin hak yang besar kepada waris untuk menyertai prosiding.

Selain itu, Belanda mengekalkan kerangka perundangan bersama dengan banyak negara untuk bantuan perundangan dan ekstradisi berdasarkan perjanjian multilateral dan bilateral.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 6:37am
d