mutakhir

Rampasan RM1.5 juta

Oleh Shamsudin Husin

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas pelbagai hasil tangkapan, kelengkapan, bahan api serta dua bot nelayan warga asing bernilai RM1.5 juta selepas menahan mereka di kawasan 105 batu nautika dari Kuala Kemaman, Rabu lalu.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, seramai 24 nelayan dipercayai warga Vietnam berusia 14 hingga 52 tahun ditahan selepas anggota APMM berjaya memintas bot ketika mereka mahu meloloskan diri pada 9.30 pagi.

Menurutnya, bot ronda yang melakukan pemantauan di perairan berkenaan mengesan kedua-dua bot terbabit melakukan aktiviti menangkap ikan berdekatan antara satu sama lain.

Katanya, mereka kemudiannya bertindak memotong tali pukat dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan itu.

"Bagaimanapun, kami berjaya menahannya dan hasil pemeriksaan ditemui sebanyak 2,000 kilogram pelbagai jenis ikan hasil tangkapan mereka, 1,000 kilogram sotong kering dan kira-kira 10,000 liter diesel yang disimpan dalam tong di atas sebuah dari bot terbabit.

"Kesemua mereka yang ditahan itu dan bot terbabit kemudiannya dibawa ke Pangkalan Maritim APMM Bukit Kuang untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim APMM Teluk Kalong, hari ini.

Menurutnya, tekong dan awak-awak berkenaan kini direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 7:08pm
d