mutakhir

Kongsi maklumat risikan

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

BERKONGSI maklumat risikan mengenai militan Daish dengan negara Asia Barat antara yang diberi tumpuan dalam usaha mencari pendekatan terbaik menangani ancaman Daish di negara ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau akan bertemu dengan pemimpin tertinggi beberapa negara Asia Barat dalam lawatan kerjanya minggu depan.

"Pertemuan itu nanti membolehkan kita memahami dan mendengar pengalaman mereka ketika berdepan dengan ancaman Daish, sekali gus berkongsi pandangan bagi mencari pendekatan terbaik menangani ancaman daripada kumpulan militan itu.

"Pertemuan itu juga bagi berkongsi maklumat risikan mengenai Daish termasuk pergerakan ahli mereka yang lari dari negara asia barat seperti Iraq dan Syria. Ini kerana wujud kebimbangan militan Daish lari ke rantau ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Mutiara Pernama Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi.

Hishammuddin berkata, dalam lawatannya ke Arab Saudi, beliau akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan penubuhan King Salman Centre For International Peace (KSCIP) di Kuala Lumpur

serta memikirkan pendekatan terbaik untuk mengenalpasti inisiatif ‘counter narrative’ bagi mengekang penyebaran dakyah kumpulan pengganas.

Selain Arab Saudi, beliau dijangka mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Dalam perkembangan di Marawi, Filipina, Hishammuddin berkata, kerajaan akan memantau secara dekat perkembangan di rantau itu, selain melihat kaedah terbaik untuk membantu pelarian di Marawi.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 8:29pm
d