mutakhir

Pilu seorang isteri

Oleh Junaidi Ladjana

TANDA tanya seorang isteri berikutan suaminya tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari kerja sejak Rabu lalu, terjawab apabila mayat suaminya itu ditemui terapung di tebing Sungai Papar, Kampung Buang Sayang 2, Papar, pagi tadi.

Mayat warga Filipina berusia 38 tahun itu ditemui penduduk kampung berkenaan, jam 10.30 pagi sebelum ia dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap.

“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan barangan peribadi mangsa seperti dompet, wang tunai, telefon bimbit dan pasport masih ada bersamanya.

“Polis turut menemui beg yang mengandungi alat-alat pertukangan di tebing sungai, tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui terapung,” katanya ketika dihubungi.

Nor Azizulkifli berkata, mangsa yang sudah berkahwin dengan wanita tempatan bekerja sebagai buruh kasar.

“Hasil temu duga dibuat, isteri mangsa memaklumkan suaminya keluar rumah pada Rabu lalu untuk mencari kerja di Kampung Buang Sayang 2.

“Hasil siasatan awal tidak menemui sebarang perbuatan jenayah dan mangsa dipercayai terjatuh ke sungai lalu lemas,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 8:34pm
d