mutakhir

Ketatkan kawalan sempadan elak penyeludupan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS akan memperketatkan kawalan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelakkan penyeludupan dadah, senjata dan barang larangan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kawalan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Katanya, polis mempunyai strategi dan langkah untuk mencegah penyeludupan di sempadan.

"Kita akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk cadangan untuk menutup pangkalan haram di sekitar sempadan.

"Cadangan itu ada baik dan buruknya, tetapi kalau boleh tutup ia lagi baik," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand dari Pengkalan Kubor hingga ke Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 7,598 rampasan membabitkan 8,934 tangkapan berbanding tahun lalu sebanyak 7,866 kes dengan 8,737 tangkapan.

"Tangkapan tahun ini membabitkan 5,350 orang yang positif urin, 2,951 orang memiliki dadah dan 570 pengedar dadah.

"Rampasan keseluruhan dadah bernilai lebih RM5.6 juta," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 8:42pm
d