mutakhir

Suspek samun kedai 24 jam di Banting ditahan

Iskandar Shah Mohamed 

TIGA lelaki termasuk seorang remaja yang aktif melakukan samun bersenjata membabitkan kedai serbaneka 24 jam sekitar Banting ditahan polis, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek yang ditahan berusia 16 tahun hingga 23 tahun.

“Suspek melakukan jenayah itu pada awal pagi termasuk pada cuti Aidilfitri. Mereka menceroboh premis berkenaan sebelum melarikan barangan berharga.

“Suspek pertama yang juga remaja lelaki ditahan pada jam 4 petang kelmarin (Selasa) di sekitar Banting,” katanya tadi.

Beliau ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor.

Hadir sama Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat dan Timbalannya Datuk Ab Rashid Ab Wahab.

Menurut beliau, soal-siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek selain pelbagai barangan hasil samun.

“Kami masih menyiasat kes membabitkan kumpulan ini. Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, pihaknya turut menyiasat kaitan kumpulan itu dengan kes pecah kedai serbaneka di Pusat Perdagangan Banting, Isnin lalu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pintu masuk kedai serbaneka di Pusat Perdagangan Banting itu dirosakkan dan barangan yang dilarikan termasuk tiga pemutar kek.

Jumlah kerugian dianggarkan RM3,500.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 9:11pm
d