mutakhir

JKM hantar kaunselor

Oleh Garret Dawum

SEPASUKAN kaunselor sudah dihantar oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memberi kaunseling kepada keluarga dua beradik di Serian, Sarawak yang meninggal dunia akibat jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila, Selasa lalu.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuching itu dihantar sejurus menerima laporan berkenaan kematian tersebut.

“Pihak kami memang memandang serius kejadian itu dan amat bersimpati terhadap keluarga mangsa.

“Kami akan membantu sedaya upaya dalam memberi kaunseling khususnya terhadap ahli keluarga yang trauma kerana mereka memerlukan perhatian dan sokongan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis Hari Raya anjuran The Giving Bank dengan kerjasama Hotel Berjaya Times Square di sini, hari ini.

Dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson, 4, dari Kampung Paon Sungai Rimu, Serian yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak 29 Jun lalu akibat jangkitan virus rabies meninggal dunia antara jam 1.43 tengah hari dan jam 1.46 tengah hari.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 10:20pm
d