mutakhir

Utama aspek keselamatan

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Bertepatan dengan seruan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mementingkan aspek keselamatan penumpang, EzCab melancarkan aplikasi e-Panggilan pertama di Malaysia dengan fungsi butang panik atau SOS.

Pengarah Eksekutif EzCab Nor Aleeshah Abdullah berkata, pelaksanaan butang SOS sebagai tindak balas terhadap isu keselamatan menerusi penyediaan perkhidmatan e-Panggilan.

“Aplikasi e-Panggilan menyediakan kemudahan selesa kepada pengguna untuk menempah perkhidmatan teksi dan menikmati khidmat profesional dan mesra pengguna pemandu teksi.

“Perkhidmatan ini dikendali dan diselia Pusat Sokongan Pelanggan yang beroperasi 24 jam sehari tanpa cuti,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, apabila penumpang memasuki teksi dan memulakan perjalanan, butang SOS akan muncul di sebelah kanan skrin ‘On Board’ di peranti mudah alih penumpang.

Katanya, sekiranya berlaku kecemasan, penumpang perlu menekan butang SOS dan diberi tiga pilihan untuk menghubungi nombor kecemasan sama ada talian 999, nombor kecemasan peribadi atau Pusat Sokongan Pelanggan yang mampu bertindak balas segera pada waktu kecemasan.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 2,000 pemandu teksi berdaftar menggunakan aplikasi berkenaan.

Katanya, teksi berkenaan mestilah mempunyai lesen komersial yang berdaftar dengan SPAD.

Menurutnya, EzCab sentiasa berusaha membantu pemandu teksi di Malaysia.

“Mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan penumpang selain meletakkan keyakinan dan membuang stigma negatif orang ramai terhadap pemandu teksi,” katanya.

Aplikasi EzCab boleh dimuat turun dari Google Playstore dan Apple App Store.

Awal Jun lalu, SPAD mengarahkan semua operator e-Panggilan dalam negara untuk menambah baik butang SOS pada aplikasi sedia ada berikutan insiden tidak menyenangkan ke atas penumpang teksi yang menggunakan aplikasi e-Panggilan.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 5:14am
d