mutakhir

Mengaku guna wang palsu bayar pendahuluan motosikal

Oleh myMetro

Kuala Terengganu: Tindakan seorang pesara kerajaan menggunakan wang palsu bagi membayar duit pendahuluan motosikal menjerat diri apabila dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Aminuddin Abu Bakar Sidek, 53, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan sembilan not RM100 bernilai RM900 sebagai pembayaran pendahuluan motosikal Honda EX5 Dream daripada seorang lelaki dengan mengetahuinya sebagai palsu di Kampung Banggol Air Lilih, di sini, jam 10.15 malam, 23 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan 24 Jun lalu selepas mendapati wang tunai yang dibayar tertuduh wang palsu.

Tertuduh bagaimanapun menyerah diri pada 4 Julai lalu dan mendakwa menggunakan wang palsu itu kerana terdesak.

Susulan penahanan tertuduh, pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di rumah tertuduh sebelum menemui sekeping lagi wang kertas palsu.

Tertuduh dipercayai dengan niat menggunakan wang palsu bagi tujuan kepentingan diri.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 6:11am
d