mutakhir

Tukang jahit didakwa sokong Daish [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

TUKANG jahit lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Slim River, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menggalakkan keahlian, menyokong ideologi dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daish, antara Mei hingga Jun lalu.

Tertuduh Rino Kaswara Kasmar, 34, mengangguk faham sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Bagi pertuduhan pertama, Rino Kaswara didakwa menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dan kumpulan pengganas Daish melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan perbualan AnsharulKhilaafah of Filibiin-Indonesia dengan menggunakan nama 'Rijal Mujahideen Minangkabau'.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Medan Niaga, Jalan Pasar, Pekan Slim River pada 2 Mei hingga 12 Jun lalu dan dia dituduh mengikut Seksyen 130G (b) Kanun keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimun 30 tahun dan juga denda.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish dengan berbaiah kepada kumpulan pengganas terbabit melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan perbualan sama dan dilakukan di lokasi sama pada 2 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda selain boleh dirampas harta yang digunakannya untuk melakukan kesalahan itu.

Manakala bagi pertuduhahan ketiga pula, Rino Kaswara didakwa dalam milikannya telefon bimbit jenama Lenovo yang di dalamnya mengandungi barangan berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan pengganas Daish.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Jalan Pasar, Pekan Slim River pada 12 Jun lalu dan dia dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan dilucutkan hak barangan terbabit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Syalia Ain Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Farena kemudiannya menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

#kw Daish, didakwa, menggalakkan keahlian, menyokong ideologi dan memiliki item pengganas Gambar Muhaizan Yahya

#loc 3.830025, 101.4046448

Daish, didakwa, menggalakkan keahlian, menyokong ideologi dan memiliki item pengganas

tamat///

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 10:52am
d