mutakhir

PH tak pernah bincang Husam calon MB Kelantan

Oleh BERNAMA

KENYATAAN pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang supaya Datuk Husam Musa dilantik sebagai menteri besar Kelantan sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

Malah, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perkara itu langsung tidak dibincangkan di peringkat mesyuarat pimpinan PH.

“Perkara ini (cadangan Husam jadi MB) tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PH dan ia bukan pandangan PH,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di perkarangan Stadium Malawati, di Shah Alam, semalam.

Lim membuat cadangan itu baru-baru ini kerana beliau menyifatkan Husam, juga Naib Presiden PAN boleh menjadi teladan baik untuk rakyat negeri itu dan seluruh negara.

Ditanya mengenai cadangan PAN untuk bertanding di Kelantan pada PRU-14, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pengagihan kerusi akan dibincangkan di peringkat mesyuarat PH dan adalah penting bagi semua rakan parti komponen PH mencapai konsensus berhubung perkara itu.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 12:06pm
d