mutakhir

Doakan Noah Ulhaq

Oleh Nurul Huda Kosnon

“SAYU hati saya apabila pakaian raya yang dibelikan hanya mampu dipakai ketika dia masih terlantar di hospital.

“Tiada istilah raya kali ini memandangkan keadaan anak tersayang yang terlantar di hospital sejak dilahirkan akibat penyakit yang dialaminya itu.

Demikian luahan seorang bapa, Mohd Nor Hafiz Md Shari, 33, yang sehingga kini buntu memikirkan keadaan anaknya berusia 47 hari yang dikesan mempunyai masalah jantung dan gangguan genetik yang mengakibatkan masalah pertumbuhan atau lebih dikenali sebagai 'Noonan Syndrome' sejak dilahirkan.

Menurutnya yang juga kakitangan swasta, Noah Ulhaq yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan namun keadaannya stabil.

“Anak saya ditempatkan di hospital itu sejak dilahirkan pada 21 Mei lalu berikutan mengalami masalah kesihatan.

“Kemudian pada 22 Mei pihak hospital menempatkan anak saya di ICU kerana Noah dikesan menghidap penyakit membabitkan jantung dan gangguan genetik itu.

"Dia (Noah) hanya bergantung kepada bantuan pernafasan sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Katanya, doktor turut memberitahunya supaya sentiasa bersiap sedia termasuk sumber kewangan bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini sekiranya dikehendaki pihak hospital untuk berbuat demikian.

"Isteri masih dalam tempoh bercuti selepas melahirkan anak kedua ini manakala saya baru saja memulakan kerja semula selepas bercuti selama sebulan untuk menjaga anak di hospital.

"Memang sedih memikirkan keadaan anak apatah lagi ketika umat Islam sedang menyambut hari raya sebaliknya kami pula terpaksa beraya di hospital," katanya yang juga bapa kepada dua anak.

Katanya, dia akan berusaha memastikan keadaan anak pulih biarpun terpaksa berhenti kerja untuk memberi sepenuh perhatian menjaga anaknya itu.

"Saya hanya mampu bertawakal dan berdoa kepada Allah SWT dengan apa yang berlaku. Tak boleh nak cakap apa-apa...hanya ikhtiar dan usaha tanpa henti.

"Kalau kena berhenti kerja pun, saya nekad sekiranya itu jalan terbaik...nak sangat tengok anak saya sihat macam bayi lain.

"Saya percaya rezeki ada di mana-mana namun kesihatan anak lebih utama," katanya.

Katanya, dia meletakkan harapan tinggi agar bayinya dapat dipulihkan dan berharap agar orang ramai turut mendoakan kesihatan Noah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank CIMB milik Mohd Nor Hafiz (7024419087) atau hubungi talian 011-16650548 untuk sebarang pertanyaan.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 10:00pm
d