mutakhir

Siasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Oleh Junaidi Ladjana

KEMALANGAN yang mengorbankan seorang wanita di Jalan Tuaran Bypass, berhadapan Sekolah Menengah Agama Inanam, Kota Kinabalu, semalam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiga wanita dan seorang lelaki berusia 27 hingga 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan kemalangan itu.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, Lisabilah Dulima, 28, beralamat di Tambalugu, Tuaran, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dengan menaiki kereta jenis Perodua Kelisa.

"Setibanya di lokasi kejadian, dipercayai berlaku pertengkaran di dalam kereta antara mangsa dan empat rakannya itu.

"Bagaimanapun, polis masih menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku sehingga mangsa maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu Perodua Kelisa turut cedera pada tangan kanan dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HEQ) manakala tiga lagi penumpang tidak cedera.

"Dua wanita dan seorang lelaki direman selama tujuh hari sehingga 14 Julai ini untuk siasatan lanjut manakala pemandu Perodua Kelisa masih lagi dirawat di hospital.

"Sehubungan itu, polis ingin meminta kepada saksi yang melihat kejadian ini supaya tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan polis," katanya.

Sementara itu, Chandra berkata, polis menafikan yang mangsa terbabit dalam kes ragut mahupun samun.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak benar dan mendapatkan fakta sebenar daripada polis.

"Siasatan sedang dibuat dari semua sudut termasuk kesalahan trafik. Hasil siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya.

Caption:

1. MAYAT mangsa maut di lokasi kejadian.

2. ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

3. POLIS forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

tamat

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 10:10pm
d