mutakhir

Tular sampai luar negara

Oleh Asrizal Aris

LELAKI yang memiliki wajah seperti watak anime yang menjadi perhatian baru-baru ini turut menjadi tumpuan di luar negara apabila dia menerima tawaran bekerja dengan syarikat produksi di Korea Selatan.

Amirul Rizwan Musa, 21, menerima tawaran rasmi itu melalui e-mel selepas dihubungi wakil syarikat hiburan negara itu semalam menerusi panggilan video Skype selepas kisahnya tular di beberapa negara luar.

Amirul yang lebih dikenali dengan nama Miyyo Rizone berkata, bagaimanapun dia masih mempertimbangkan tawaran terbabit kerana banyak komitmen di dalam negara.

"Syarikat itu memberi tawaran untuk menandatangani kontrak menjadi artis naungan mereka bagi sebuah program hiburan berkonsepkan idol (idola) tetapi saya masih belum memutuskan untuk menerimanya.

"Saya tidak pasti apakah posisi yang mereka akan berikan kerana masih belum dijelaskan secara menyeluruh tawaran yang diberikan itu. Katanya '1st Trainner' (pelatih utama), tetapi saya tak pasti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Amirul, dia enggan memutuskan keputusannya secara terburu-buru kerana mahu menumpukan pada perniagaannya yang menerima sambutan luar biasa sejak kisahnya menjadi tular.

"Jualan produk saya tidak henti-henti selepas tular baru-baru ini. Walaupun ada sedikit sedih kerana teruk dikecam, sekurang-kurangnya perniagaan saya bertambah maju.

"Terima kasih kepada 'tukang kecam' kerana mereka menaikkan nama saya sehingga mendapat tawaran sebegini rupa," katanya.

Selasa lalu, Harian Metro memaparkan kisah Amirul yang sanggup menghabiskan hampir RM200,000 untuk menjalani pembedahan menukar wajahnya seperti watak anime.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 10:55pm
d