mutakhir

Degil ni...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 19 kanak-kanak dan remaja boleh dianggap degil apabila masih secara berkumpulan menunggang basikal lajak (basikal diubah suai) sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Besar, Skudai berhampiran susur ke Taman Perling, Johor, hari ini.

Kejadian kira-kira 12 tengah hari itu menyebabkan polis terpaksa menahan semua mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun dan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kumpulan berkenaan dilihat berbasikal dan melalui Jalan Besar, Skudai berhampiran laluan bertingkat ke susur Taman Perling sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas.

"Polis memberhentikan mereka dan membuat pemeriksaan dan membawa mereka ke balai polis untuk tindakan selanjutnya selepas mendapati kebanyakan basikal ditunggang mereka diubah suai dan tiada ciri keselamatan.

"Sebanyak 19 basikal ditahan untuk pemeriksaan dan hasilnya mendapati hanya 18 basikal yang melakukan kesalahan pengubahsuaian struktur basikal seperti tiada brek.

"Manakala, sebuah lagi basikal dalam keadaan sempurna dan tiada pengubahsuaian dibuat, oleh itu, sebanyak 18 saman dikeluarkan mengikut Rule 42(1) LN 166/59," katanya.

Dzulkhairi berkata, ibu bapa dan penjaga kepada semua remaja itu turut dipanggil ke pejabat cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

“Ibu bapa dan penjaga dipanggil untuk kita serahkan anak mereka kerana masih di bawah umur dan serahkan basikal semula .

“Kita juga beri amaran kepada ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak menggunakan basikal yang tidak mengikut spesifikasi. Mereka juga turut dimaklumkan,sekiranya pihak polis terjumpa lagi, kita akan mengambil tindakan lebih tegas,” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2017 @ 12:34am
d