mutakhir

Dua lelaki maut dirempuh

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan lima motosikal di Kilometer 10, Jalan Johor Bahru - Air Hitam menghala ke Skudai, Johor, hari ini.

Kejadian jam 4.15 pagi itu membabitkan sebuah Proton Persona, Perodua Alza, Proton Saga dan lima motosikal Yamaha LC yang mana semua penunggang motosikal itu sedang berhenti di tepi jalan untuk membantu mangsa kemalangan sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, ketika kejadian sekumpulan motosikal sedang berhenti di lorong paling kanan untuk memberi pertolongan mengalihkan kenderaan mangsa kemalangan yang berlaku lebih awal.

"Mereka kemudian dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Proton Persona yang kemudian terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kereta yang berada di kiri jalan," katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, dua mangsa yang bekerja di Singapura, S Logess, 29, dan R Surendran (tiada maklumat umur), disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, dua mangsa yang maut itu belum dapat dipastikan menaiki kenderaan yang mana dan kemalangan itu juga menyebabkan tiga lagi lelaki yang belum dikenal pasti identiti mereka cedera parah.

"Pemandu Proton Persona terbabit yang berusia 29 tahun dilaporkan cedera ringan dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Taib berkata, semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 8, 2017 @ 11:19am
d