mutakhir

Kawal pintu masuk

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Sistem sensor dan alat kawalan jauh diguna pakai bagi mengawal pintu masuk khas ke sebuah premis pusat refleksologi yang menawarkan perkhidmatan seks wanita warga asing.

Itu antara langkah keselamatan digunakan sindiket pelacuran selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan premis.

Taktik digunakan enam premis di Brickfields dan Wangsa Maju, di sini, bagaimanapun gagal menghalang anggota Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Bukit Aman menyerbu premis itu serentak jam 9.30 malam kelmarin.

Hasilnya, seramai 20 wanita warga asing disyaki pelacur dan enam pekerja serta penjaga dicekup dalam operasi itu.

Pegawai Operasi STAGG, Superintendan Mohd Shukri Abdullah berkata, pihaknya menahan 10 wanita warga Filipina, masing-masing empat warga Vietnam dan Thailand serta dua warga China berusia 20 hingga 38 tahun yang bekerja sebagai tukang urut.

“Mereka dipercayai menawarkan khidmat seks pada harga antara RM150 hingga RM200 sejam.

“Perkhidmatan tukang urut ini juga boleh ditempah menggunakan aplikasi WeChat,” katanya semalam.

Mohd Shukri berkata, enam lelaki tempatan berusia 35 tahun hingga 45 tahun turut ditahan kerana menjaga dan bekerja di premis maksiat itu.

“Premis terbabit menggunakan sistem CCTV dan pintu masuk khas yang menggunakan alat kawalan jauh bagi tujuan pengawasan kehadiran polis selain menyukarkan polis ketika serbuan dilakukan.

“Kami juga menemui wang tunai, salinan lesen perniagaan, buku catatan perniagaan serta beberapa peralatan yang digunakan bagi tujuan perkhidmatan seks seperti tuala, kondom dan tisu,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 5:27am
d