mutakhir

DAP mungkin tak boleh bertanding PRU14

Oleh Mohd Nasif Badruddin

CALON DAP mungkin tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya parti itu tidak mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP, parti itu perlu mengadakan semula pemilihan CEC kerana pemilihannya pada 2013 tidak sah disebabkan tidak mengikut komposisi pecahan cawangan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mempersoalkan adakah wajar calon DAP bertanding dalam PRU kerana mereka dipilih oleh kepimpinan parti yang tidak diiktiraf.

"Surat yang ditandatangani Setiausaha Agung DAP juga tidak diiktiraf dan melanggar undang-undang.

"Ini bukan campur tangan saya sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi mengikut undang-undang dan perlembagaan parti, mereka perlu buat pemilihan CEC semula," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Dewan Sri Iskandar, Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor serta Ketua UMNO Bahagian Gombak Datuk Abdul Rahim Kamarudin.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 12:58pm
d