mutakhir

70,000 penduduk terjejas

Oleh Nazdy Harun

MASALAH bekalan air terputus di beberapa kampung berhampiran Loji Air Bukit Losong, Kuala Terengganu dijangka berterusan hingga 5 petang ini berikutan saluran paip utama berusia 63 tahun pecah pada 7 pagi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Ir Atemin Sulong berkata, kira-kira 70,000 penduduk di sekitar Losong, Pulau Musang, Durian Burung, Paloh, Kuala Bekah dan Pulau Rusa terjejas akibat saluran paip pecah.

Menurutnya, kerja baik pulih saluran paip berukuran 30 sentimeter terbabit sedang dijalankan dan pihaknya menyediakan tiga lori tangki bagi membantu menghantar bekalan air kepada penduduk.

"Loji air berkenaan mampu menampung jumlah penggunaan melebihi 40,000 juta liter air sehari bagi memenuhi permintaan sedia ada.

"SATU menjangka proses baik pulih saluran yang pecah itu akan berlarutan hingga 5 petang dan sekiranya pengguna masih mengalami gangguan boleh menghubungi talian kami di 1-800-882-111," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, SATU berharap pengguna yang terjejas akibat kejadian itu supaya bersabar kerana pihaknya akan berusaha mengatasi masalah berkenaan.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 2:43pm
d