mutakhir

38 lembu mati diserang hawar berdarah

Oleh Rosli Ilham

TIGA puluh lapan lembu dilaporkan mati di Kampung Padang Pulut, Dungun, dipercayai diserang penyakit hawar berdarah atau dikenali Heamoragic Septicaemia (HS) sejak Aidilfitri lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Padang Pulut, Zakaria Dollah berkata, kejadian menyebabkan penternak di kawasan berkenaan mengalami kerugian besar.

"Sejak Aidilfitri lalu, saya menerima laporan kematian ternakan dan pada mulanya hanya menjangkakan ia akibat penyakit biasa.

"Bagaimanapun, selepas ia membabitkan banyak kematian menyebabkan kami melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut pada Khamis lalu," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya berterima kasih dengan tindakan segera JPV dan hasil bedah siasat yang dilakukan jabatan itu mengesahkan ternakan terbabit mati akibat HS.

Menurutnya, di kampung berkenaan terdapat 19 penternak mengusahakan ternakan membabitkan sebanyak 1,052 lembu.

"Setakat ini, sembilan pengusaha lembu terbabit dalam kejadian itu membabitkan kerugian hampir RM100,000," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya terutamanya penternak sudah mengadakan pertemuan dengan Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali pagi ini.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 3:04pm
d