mutakhir

[UPDATE] Alhamdulillah, dah jumpa

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

DOKTOR gigi yang sesat ketika turun dari Gunung Yong Belar, Lojing, Gua Musang, semalam ditemui selamat 4 petang, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, Dr Muhammad Iqbal Ariffin, 29, ditemui oleh dua pekerja kebun warga Myanmar yang membantunya keluar dari kawasan hutan.

"Dia dibawa keluar hingga ke Masjid Lojing dengan menaiki motosikal. Ketika ini mangsa keletihan dan sedang diberi rawatan awal.

"Sebelum itu, dia memberitahu menyedari terpisah daripada rakannya sekitar 4.30 petang semalam dan terpaksa bermalam di hutan sendirian.

"Kira-kira 7 pagi tadi, mangsa menyusuri sungai untuk mencari jalan keluar sebelum menemui pekerja kebun berkenaan. Apabila tiba di Masjid Lojing, dia menghubungi bapanya yang kemudian memaklumkan kepada polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdullah berkata, dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang bermula kira-kira 11 pagi tadi dihentikan.

Operasi membabitkan 13 anggotanya dibantu Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

Dr Muhammad Iqbal dilapor hilang selepas terpisah daripada kumpulan 31 pendaki dari Melaka dan Johor yang melakukan pendakian ke gunung ketiga tertinggi di Semenanjung Malaysia itu, semalam.

Dia disedari hilang oleh rakannya ketika mereka berkumpul di Kem Tudung Periuk pada 4.30 petang dan laporan dibuat di Balai Polis Lojing sejurus kehilangan.

Berita berkaitan:

http://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/07/243436/dikhuatiri-sesat-di-gun...

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 5:27pm
d